Pages

Wednesday 9 May 2012

Sahabat




(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." 
(Az-Zukhruf, ayat 67)


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat lagi meluangkan sedikit masa untuk menaip entri blog yang tidak seberapa ini, tetapi mungkin pengisian kali ini dapatlah dikongsi agar bersama-sama mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa.


Hari ini kita akan menyentuh perihal hubungan persahabatan.

Apakah yang dimaksudkan dengan sahabat, kawan, rakan dan tidak juga ketinggalan, teman?
Mungkin bagi para pembaca blog ini,  masing-masing mempunyai pandangan yang tersendiri akan maksud perkataan yang disebutkan. Apa-apa pun, kesemua perkataan tersebut merujuk kepada erti yang sama, iaitu orang yang rapat dengan kita selain keluarga kita.

Sahabat adalah antara orang yang sangat penting dalam kehidupan kita. Tanpa sahabat, sunyi sepi lah dunia. Sahabat juga mencerminkan diri kita yang sebenar. Siapa sahabat kita akan menunjukkan sedikit sebanyak diri kita. Baik atau buruk sahabat tersebut, akhirnya tempiasnya akan terkena kepada kita juga. Oleh demikian, kita mestilah bijak memilih sahabat.  

Dalam hadis Rasulullah SAW,

"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada dia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula sama ada dia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)

Kita juga diseru untuk menjaga hubungan persahabatan kita sebaik-baiknya kerana sahabatlah menjadi antara orang yang paling hampir dengan kita apabila kita mengalami kesusahan. Janganlah pula sesekali mengabaikan sahabat kita terutamanya apabila mereka menghadapi kesusahan.  Kita juga ditegah sama sekali untuk memutuskan hubungan silaturrahim terutamanya sesama Islam. 

"Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, sayangilah sahabat kita sebelum mereka meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Renung-renungkan dan selamat beramal. J

By : Admin


No comments:

Post a Comment