Pages

Tuesday 15 May 2012

Jagalah Perasaan Orang Lain




“Maka dengan sebab rahmat yang melimpah-limpah dari Allah kepada mu wahai Muhammad engkau telah bersifat lemah lembut kepada mereka sahabat-sahabat dan pengikut mu dan kalaulah engkau bersifat kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari keliling mu”. (Ali-Imran, 159)

السلام عليكم ورحمة الله وبركته

Syukur alhamdulillah, dengan kasih sayang Allah yang tidak terhingga, Dia masih memberi rahmat hidayah kepada kita semua untuk menjadi hamba-Nya yang taat. Dalam kesempatan ini, marilah kita mengambil peluang yang masih ada ini untuk muhasabah diri dengan sedikit ilmu yang ingin dikongsi bersama.

Sesuai dengan contoh ayat di atas, hari ini kita hendak mengutarakan perihal pentingnya menjaga hati dan perasaan orang lain.


Dalam kehidupan ini, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan sama ada terhadap Yang Maha Esa, diri sendiri dan juga orang lain. Jika kita melakukan kemungkaran kepada Allah dan juga diri sendiri, kita perlu bertaubat kepada-Nya. Dengan izin-Nya, insya-Allah diampunkan dosa kita. Tapi bagaimana pula dengan kesilapan kita dengan orang lain? Dosa kita hanya akan lenyap sekiranya orang berkenaan akan memaafkan kita.

Sebagai manusia di muka bumi ini, kita hendaklah menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga orang lain  (حبل من  الله و حبل من الناس)  (Hablum Min-Allah Wa Hablum Min-Annas) . Hal ini termasuk menjaga perasaan dan hati orang lain. Sesungguhnya kita mesti menjaga perasaan orang lain sebagaimana kita menjaga perasaan diri sendiri. Kita dilarang sama sekali untuk menyakiti hati orang lain kerana hal ini berkemungkinan besar mereka akan membenci kita dan tidak akan memaafkan kita sampai bila-bila. Sekiranya mereka tidak memaafkan kita itu bermaksud kita sudah mendapat dosa. Ingat, Allah tidak akan menyukai orang yang berdosa.


Rasulullah juga ada menyatakan hal tersebut dalam hadisnya,

 “Kezaliman itu ada 3 macam: Kezaliman yang tidak diampunkan Allah, Kezaliman yang dapat diampunkan Allah, dan kezaliman yang tidak dibiarkan oleh Allah. Adapun kezaliman yang tidak diampunkan Allah adalah syirik, firman Allah SWT: “Sesungguhnya syirik itu kezaliman yang amat besar!”, adapun kezaliman yang dapat diampunkan Allah adalah kezaliman seseorang hamba terhadap dirinya sendiri di dalam hubungan dia terhadap Allah, Tuhannya.  Dan kezaliman yang tidak dibiarkan Allah adalah kezaliman hamba-hamba-Nya di antara sesama mereka, kerana pasti dituntut kelak oleh mereka yang dizalimi.”  (HR. Al-Bazaar & Ath-Thayaalisy)

Secara logik juga, sekiranya kita tidak menjaga perasaan orang lain kita tidak akan disenangi oleh orang sekeliling kita dan sekali gus menyebabkan orang lain tidak suka berkawan dan bergaul dengan kita dek sifat kita yang tidak menghiraukan hati dan perasaan orang lain. Demi menjaga perasaan orang lain, kita dilarang untuk melakukan perkara-perkara keji terhadap mereka seperti mengutuk, menghina, marah, melepaskan kata-kata yang buruk dan lain-lain. Sebagai contoh, dalam hadis Rasulullah S.A.W ,

"Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya." (Al-Bukhari dan Muslim)

 Sekiranya orang lain pula yang menyakitkan hati kita, kita harus bersabar dan sentiasa bersedia untuk memaafkan kesalahan orang tersebut. Sesungguhnya Allah cintakan orang yang penyabar.

"Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar bilik(mu) kebanyakan mereka tidak mengerti. Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai kamu ke luar menemui mereka sesungguhnya itu adalah lebih baik bagi mereka, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Hujurat: 4-5)

Kesimpulannya, kita mestilah saling menjaga hati dan perasaan orang lain demi menjaga kesejahteraan kehidupan kita di dunia ini. Allah sentiasa membuka pintu taubat buat kita semua. Sebelum terlambat, marilah kita memohon keampunan dari Allah dan tidak ketinggalan juga orang pernah kita sakiti hatinya.
Sebagai penutup bicara pada kali ini, Rasulullah telah bersabda,

“Siapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, baik berupa kehormatan badan atau harta atau lain-lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf) nya sekarang juga, sebelum datang suatu hari yang tiada harta dan dinar atau dirham, jika ia punya amal soleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanah (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yang dianiaya untuk ditanggungkan kepadanya.” (Bukhari dan Muslim)

Renung-renungkan dan selamat beramal J

By : Admin

No comments:

Post a Comment