Pages

Friday 18 May 2012

Larangan Menderhaka Terhadap Suami



السلام عليكم ورحمة الله وبركته

Alhamdulillah. Hari ini Allah masih lagi memberi nikmat yang tidak terhingga kepada kita untuk terus beramal ibadah kepada-Nya. Dengan kesihatan akal fikiran serta fizikal, ingin Admin meneruskan perkongsian ilmu pada kali ini agar kita bersama-sama mendapat manfaatnya.

Kini, acap kali kita mendengar berita tentang runtuhnya masjid yang dibina oleh si suami dan si isteri. Ada kes yang disebabkan si suami cari pengganti lain. Tidak ketinggalan juga ada yang disebabkan oleh si isteri yang dah bosan dengan si suami. Apa-apa pun sebabnya, berbalik kepada pangkal, si isteri sepatutnya wajib mentaati suami kecuali suami melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama kita. Bak kata pepatah, syurga di bawah telapak kaki suami.


Menyentuh perihal isteri menderhaka kepada suami, seorang isteri itu dikatakan menderhaka kepada suami apabila melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati suami seperti melawan cakap suami, keluar rumah tanpa izin suami, memandang rendah kepada suami sekiranya isteri berpangkat lebih besar dari suami, tidak membenarkan suami menggauli diri, curang dan banyak  lagi.

Rasulullah telah bersabda,

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangis lah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” (Muslim)

Sekiranya isteri melakukan puasa sunat tanpa kebenaran suami juga dikira sebagai menderhaka kepada suami seperti dalam hadis Rasulullah yang bermaksud,

“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada di rumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” (Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya isteri wajib taat kepada suaminya kerana salah satu cara mudah untuk mendapat rahmat syurga Allah adalah dengan mentaati segala perintah suami selagi tidak melanggar syarak yang ditetapkan.
Rasulullah juga telah bersabda,

“Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.” (Ath- Thabarani)

Bagi para isteri yang menderhaka kepada suaminya, Allah akan memberi balasan yang begitu berat sama ada balasan di dunia mahupun di akhirat. Apa yang pasti, seksaan api neraka pasti menjadi salah satu balasan isteri nusyuz.

    “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.  Rasulullah s.a.w. ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsan nya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”(Riwayat Al-Bukhari)

Sebelum ingin membina masjid, Rasulullah juga telah menekankan empat prinsip yang perlu diberi penekanan untuk mencari calon isteri. Prinsip-prinsip tersebut adalah kecantikan, keturunan, kekayaan dan juga agama. Prinsip-prinsip ini adalah bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya kes isteri derhaka.

Sekiranya pasangan yang sudah berkahwin mendapati bahawa isteri menunjukkan tanda-tanda ingin nusyuz, maka para suami boleh mengambil langkah untuk mengelakkan perkara itu benar-benar terjadi. Walau bagaimanapun, suami perlu berfikir sedalam-dalamnya untuk mengelakkan perkara yang lebih rumit berlaku. Lelaki dikurniakan sembilan akal dan satu nafsu manakala perempuan dikurniakan satu akal dan sembilan nafsu. Oleh sebab itu lelaki dinaikkan darjat untuk menjadi ketua keluarga kerana lelaki lebih rasional dalam mengambil tindakan. Antara langkah yang boleh diambil sekiranya isteri dikhuatiri nusyuz, telah disebutkan dalam firman Allah,

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkan lah (pulaukan lah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukul lah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” (An-Nisa, 34)

Dari petikan ayat Al-Quran tersebut, suami hendaklah mengasingkan tempat tidur isteri pukul sekiranya masih degil. Namun, suami dilarang untuk memukul secara kasar kerana itu salah satu tindakan zalim. Sesungguhnya Allah membenci perkara-perkara yang zalim.

Oleh itu, secara kesimpulannya, isteri mesti dan wajib taat kepada suami demi mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah Yang Maha Penyayang.

Renung-renungkan dan selamat beramal. :)

By : Admin

No comments:

Post a Comment