Pages

Friday 11 May 2012

Padamkan Amarah Mu




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah, hari ini Allah masih memberi peluang  untuk kita menghirup udara yang dikurniakan oleh-Nya. Mari kita menggunakan peluang ini untuk menambah lagi amalan di dada dengan sedikit perkongsian ilmu ini.


Amarah. Manusia sering kali akan naik angin sekiranya tidak berpuas hati akan sesuatu perkara. Bukan setakat itu sahaja, ada juga yang bertindak di luar kawalan apabila mereka marah.


Menurut  Al-Quran, marah adalah satu kekuatan jahat yang menguasai manusia untuk melakukan perkara yang tidak masuk akal. Kebiasaannya, marah ini adalah disebabkan hasutan syaitan yang keji. Mereka gemar menghasut manusia-manusia yang sedang marah. Oleh itu, apabila marah, kita digalakkan untuk membaca 
"اعوذ بالله من الشيطان الرجيم"


Marah juga adalah sifat yang tidak disukai oleh Allah. Sesungguhnya Allah cintakan orang yang dapat mengawal kemarahan-Nya. Firman Allah s.w.t,

"Orang-orang yang bertakwa ialah orang  yang berinfak (bersedekah) baik diwaktu lapang mahupun  sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan." (Al-Imran : 134)

Rasulullah juga menegah perkara ini. Dalam hadis baginda,

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawasanya ada seseorang  telah berkata kepada Nabi s.a.w.: berwaspada lah kepada ku! Jawab Baginda: jangan marah! Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka Baginda masih tetap berkata: jangan marah!

Kita sebenarnya hanya dibenarkan untuk marah sekiranya kita perlu untuk mempertahankan diri, kehormatan, agama, dan juga menegakkan hak orang yang dianiaya. Sebaliknya, marah tersebut adalah berpunca dari hasutan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Rasulullah juga telah mengajar kita bahawa kekuatan itu dapat dilihat pada ketenangan diri, dan bukan pada kemarahan yang tidak terkawal.

Dalam mentakrifkan sifat marah, Iman Ghazali berkata: 

"Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang menyala-nyala, yang panas naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di lubuk hati hingga berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya pula terpancar sifat bongkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong, seperti terpancarnya api dari batu yang bergeser dengan besi."

Oleh itu, kita hendaklah mengawal diri kita dari terjebak dalam sifat keji ini. Sekiranya kita pernah melepaskan amarah kita kepada orang lain, bersegeralah untuk meminta maaf kepada orang tersebut. Kita juga harus memaafkan orang yang pernah marah kepada kita. Sesungguhnya perkara itu sangat dituntut dalam kehidupan kita kerana manusia tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.


Renung-renungkan dan selamat beramal.



By : Admin

1 comment: